Jul 13, 2010

Balik Kampung

Balik Kampung ...

Salah satu aktiviti utama yang paling aku suka adalah balik kampung. Macam-macam aktiviti yang boleh dibuat. Aktiviti yang aku tak boleh buat kat sini. Dan yang pastinya sekembalinya aku dari kampung, berat badan aku pasti bertambah. Almaklumla hati senang, tenang, gumbira dan banyak betul makan yang masuk kedalam perut tanpa aku duga dan tak boleh aku tolak dan elak. Bak kata orang-orang lama, " Rezeki Jangan Ditolak ".

Sampai saja kat kampung, satu 'operasi' besar-besaran sedang berlangsung. Aktiviti yang aku tunggu sekian lama. Aktiviti yang aku terlepas beberapa kali sebab aku tak balik kampung. Korang pun mesti suka la aktiviti ni. Gotong royong menangkap ikan dari kolam. Ikan kat dalam kolam belakang rumah ayah aku. Menurut hikayat yang aku peroleh dari pemberi maklumat dan dari sumber yang boleh di percayai, sesetengah ikan dalam kolam ni dah 2 tahun menetap kat situ. Ikan-ikan ni telah di paksa rela untuk tinggal kat penempatan sementara ni yang lebih selesa hingga mereka lupa habitat sebenar mereka kat sawah dan sungai-sungai.

jom tangkap ikan
Memang besar-besar belaka. Haruan, puyu, sepat benua, sepat kedah dan keli. Ikan haruan besar2 betis dan lengan. Ikan keli pun sama. Ikan puyu ngan ikan sepat kedah dah besar dan gemuk macam ikan talapia. Ikan keli pun besarrrrr punyaaa...

ikan haruan
Lepas ambik beberapa shot, aku pun turut melibatkan diri kat dalam operasi kali ni. Masuk je dalam kolam yang dah di keringkan air tu, kaki aku tenggelam sampai pangkal paha. Perlu skill yang tersendiri nak cabut balik kaki dari tanah selut yang bercampur tanah liat nih. Kalau tak, rasa macam tersangkut kaki kat dalam tu. Maka bergelumang la aku dengan gumbiranya menangkap ikan yang besar-besar dengan senang sekali. Lumpur/selut/keleboq sampai atas kepala. Aku la yang paling comot sekali .Nak tangkap ikan haruan tu je kena pakai 2 belah tangan.  Dah la besar, licin pulak tu. Ada la dalam 7-9 orang yang terlibat. Dha habis operasi tu baru la bersihkan diri. Lepas tu aku tengok ada lagi ikan yang timbul dari celah-celah keleboq tu. Menurut dari sumber yang boleh di percayai jugak, ikan-ikan ni terkenal dengan sifat dan keistimewwan mereka untuk menyembunyikan diri di bawah lumpur-lumpur yang dalam. Bila keadaan agak selamat baru la ikan-ikan ni akan timbul ke permukaan. ...Hebat.


Lepas 10 minit aku tengok banyak yang mula timbul, geram punya pasal aku terjun lagi sekali. Dengan penuh nafsu, aku kaut, aku cilok, aku sebat, aku tangkap, aku peluk...peluk? aku tak peluk sebab takde spesis ikan duyung. Banyak dan besar-besar jugak la yang dapat. Oleh kerana tu aku terpaksa mandi lagi sekali.



Dah habis tangkap, ayah aku simpan sikit untuk kami sekeluarga. Selebihnya untuk di buat kenduri arwah tokwan aku pada malam tu dan di agih-agihkan untuk jiran-jiran sekampung. Kaum hawa pulak ditugaskan untuk menyiang ikan tu sebelum tiba waktu malam. Susah jugak nak siang ikan besar-besar ni. Terutamanya ikan haruan. Ikan-ikan spesis air tawar ni juga dikenali sebagai ikan darat dan sangat terkenal kerana liat sungguh nak mati. Cara nak bagi ikan-ikan ni lemah, mereka gaulkan ikan-ikan yang masih hidup ni kedalam abu sekam. Abu sekam ni bertindak menghilangkan lendir pada badan ikan. Hasilnya ikan tu semakin lemah dan orang yang nak siang ikan tu pun senang nak pegang ikan tu. Lepas disiang pada siang hari, salah satu tugas yang agak penting adalah mencuci ikan-ikan ni agar tidak berbau hanyir. Ikan-ikan yang telah disiang akan di tenyeh-tenyah, di cepuk-cepuk, di gosok-gosok ... perlu hilangkan lendir, hilangkan darah pada badannya. Daun limau, buah limau, daun apa ntah lagi depa gunakan, hasilnya memang hilang bau hanyir ikan tu. Hebat.

Kat rumah aku pulak ayah aku dah siang ikan tu untuk dibakar. Caranya, kepala ikan haruan tu di ketuk terlebih dahulu untuk pengsangkan ikan tu. kalau mati kira nasib la, last sekali pun ikan tu nak kena masti jugak. Lepas tu belah belakang ikang tu bermula dari ekor sampai ke kepala. Lepas tu buang semua isi perut. Lepas tu cuci ikan tu bersih-bersih. Perlu di ingat, sisik jangan di buang. Dah selesai, sumbatkan dengan inti kelapa pedas. Lepas tu bakar. Masakan ni dikenali sebagai 'Ikan Haruan Bantut'. Meleleh air liur aku. Untuk di buat bantut tidak sesuai jika ikan haruan bersaiz kecil. Tugas aku panggang ikan tu. Meleleh lagi air liur aku.

ikan haruan bantut


jom makan!!

Menu tengah hari tu Ikan haruan bantut, haruan masak lemak cilip padi, udang lipan kukus, rebung rebus air, puyu+sepat benua goreng cili, petai bakar, ulam-ulam dan sambal belacan. Hebat sangat-sangat hebat. Meleleh air liur aku ... 

Cuti Kayuh



Semua aktiviti kayuhan dan apa jua aktiviti yang memerlukan aku memakai kasut terpaksa aku rehatkan buat sementara waktu. Jari kaki aku kena jangkitan apa ntah. Memula tu gatal-gatal. Biasa la gatal-gatal, apa nak heran. Kemudian gatal makin teruk, dan mula bergelembung kecil-kecil. Lepas tu dah berjangkit ke jari yang satu lagi. Aku buat pemeriksaan kat klinik. Dapat la ubat tahan gatal, antibiotik dan ubat sapu. Waktu tu aku balik kampung sebab Tokwan aku yang tersayang meninggal dunia. Alfatihah untuk arwah Tokwan aku.

Balik ke Putrajaya dah makin teruk. Aku pegi check lagi sekali. Doktor tu cakap, memang infection tapi jenis ni memang degil dan susah nak baik. Kena jaga betul-betul. Makan kena pantang, kebersihan kaki kena jaga betul-betul. Baik hati betul doktor tu sebab dia bagi aku hadiah. Hadiahnya 1 suntikan jarum yang sangat menusuk kalbu. Dapat ubat antibiotik, ubat tahan sakit, ubat tahan gatal dan ubat untuk kurangkan bengkak. Maka bermula la sessi diet aku. Benda-benda yang ada protein aku tak berani makan sebab nak baik punya pasal. Aku tak boleh makan ayam, daging, telur, ikan, dan yang seangkatan dengannya. Aku makan sup sayur je.  Hebat ... 

1 bulan aku pegi keja pakai selipar dengan penuh selamba. Masuk meeting pun berselipar, tapi pakai blazer. Selekeh betul aku. Maka aku apply cuti daripada aktiviti kayuh gerek. Cuti tu aku sendiri yang approve. Lepas tu aku topup lagi sebulan. 

Penangan makan sup sayur selama 1 bulan, berat aku drop 4 kg. WOW. Lepas tu dah baik sikit aku dah mula langgar pantang sebab tak tahan. Hasilnya kaki aku tu mula tunjuk perasaan dan menunjukkan tanda-tanda nak kembali sakit. Aku pantang balik. Bila aku rasa dah pulih betul baru la aku pun "makan betul-betul". Macam tak ingat aku makan. Dan sekarang berat aku kembali 'normal'. Pada muka aku. Menyesal pun ada. Nak turun punya susah, naik balik berat senang je. Tak hebat ... 


Jul 12, 2010

Aku Gagal

Aku Gagal ... lagi ...


Aku rasa aku dah gagal. Terasa jatuh dari tempat tinggi,  'bedebuk' jatuh ke tanah. Macam gambar kat atas tu ...

Aku gagal untuk kemaskini blog ni. Tugas yang senang aku rasa.

Aku jugak gagal kemaskini fotopages yang aku terhegeh-hegeh signup dengan tujuan berkongsi keceriaan dan dunia penuh warna-warni. Semangat tu macam dah hilang.

Aku jugak gagal kayuh basikal kesayangan aku tu secara konsisten. Asyik ponteng kayuh je. Kesian basikal tu sebab dah banyak kali berhabuk. Kesian kat kawan-kawan  aku yang kecewa sebab aku banyak kali tak dapat memenuhi permintaan depa untuk sama-sama berkayuh, sama-sama penat, sama-sama menyesal sebab teruk kayuh naik bukit, sama-sama seronok layan turun bukit ... Maaf kawan-kawan. Maaf basikal.

Aku ambil maklum akan kekurangan dan kelemahan diri ini, dan seperti insan-insan lain yang terasa baru tersedar dari kegagalan dan kelemahan, aku cuba pasang angan-angan/impian/tekad yang baru untuk mengatasi kelemahan ini. Atas kesedaran ini aku kemaskini semula blog aku ni.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...